Status MB: Peguam Nizar kaji rayu keputusan Mahkamah Rayuan

12 Mei, 2009 9:02 PM
Leong Cheok Keng

Leong Cheok Keng

Barisan peguam Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mungkin mengemukakan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Salah seorang peguamnya, Leong Cheok Keng berkata, pihaknya sedang mengkaji kemungkinan tersebut.

Ketika ditemui di sini pukul 3.30 petang pada sidang media bersama Nizar, Leong berkata, pihaknya akan meneliti kandungan keputusan Mahkamah Rayuan tengah hari tadi.

“Kami sedang meneliti kemungkinan itu, kemungkinan itu (peruntukan undang-undang),” kata beliau sambil menambah, aspek masa rayuan dikemukakan pihak defenden juga akan diteliti.

Nizar pula berkata, beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk memberi nasihat mengenainya.

Kira-kira pukul 1.20 tengah hari tadi Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi semalam. mStar Online


Mahkamah Rayuan tangguh keputusan Mahkamah Tinggi

12 Mei, 2009 8:53 PM
Dato' Hafarizam Harun

Dato' Hafarizam Harun

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Menurut laporan penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam UMNO, Dato’ Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat Menteri Besar untuk membolehkan Zambry kembali bertugas, demikian lapor Malaysiakini.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi Menteri Besar.

Hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Peguam utamanya, Dato’ Cecil Abraham berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan kerajaan pusat. Harakahdaily.net


Mahkamah Rayuan bersidang serta merta sebaik permohonan difailkan

12 Mei, 2009 7:34 PM
Dato' Cecil Abraham

Dato' Cecil Abraham

Sebaik sahaja difailkan permohonan, Mahkamah Rayuan terus bersidang jam 11.45 pagi untuk mendengar rayuan dari Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Panel tiga hakim yang diketuai Dato’ Ramly Mohd Ali telah bersidang di Istana Keadilan dekat sini.

Selain membuat rayuan, peguam Zambry juga membuat permohonan agar pelaksanaan keputusan hakim Mahkamah Tinggi semalam ditangguhkan.

Zambry diwakili Dato’ Cecil Abraham dan Sunil Abraham. Turut hadir adalah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Tun Abdul Majid Hamzah.

Peguam UMNO, Dato’ Hafarizam Harun dan Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin turut hadir.

Peguam Nizar, Haji Sulaiman Abdullah, Ranjit Singh dan Edmund Bon tiba jam 11 pagi tadi.

Turut hadir ke mahkamah adalah dua ADUN Bebas pro BN iaitu Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang). SIASAH


Tengku Razaleigh sokong DUN Perak dibubar

12 Mei, 2009 7:08 PM
Tengku Razaleigh Hamzah

Tengku Razaleigh Hamzah

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menyokong tindakan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin agar Sultan Perak, Sultan Azlan Shah memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita berharap Sultan memperkenan untuk membubarkan DUN. Ia bukan sahaja tindakan sewajarnya, tetapi satu-satunya cara keluar daripada krisis yang membelenggu Perak,” kata tulisan terbaru dalam blognya semalam.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut Ku Li berakta, krisis yang terjadi di Perak telah merosakkan keluhuran undang-undang, mencalarkan badan kehakiman, polis dan perkhidmatan awam negeri, dan mencemarkan sistem beraja di mata rakyat.

Februari lalu, ketika berlakunya krisis politik sehingga jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu Ku Li turut mengkritik proses pegambilalihan kerajaan Barisan Nasional daripada PR yang disifatkan sebagai tidak mengikut Perlembagaan.

Beliau juga bekas Naib Presiden UMNO mencadangkan pilihan raya negeri diadakan bagi mengelakkan rakyat terus menjauhi UMNO.

Tambahnya, segala keputusan yang diambil kerajaan BN di bawah pimpinan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan barisan Exco selama kira-kira tiga bulan disifatkan sebagai ‘haram dan semua keputusan dibuat tidak mengikut asas perundangan’.

Jelasnya, persidangan DUN Perak minggu lepas yang membawa usul Zambry menggantikan Speaker, V. Sivakumar dengan Dato’ R. Ganesan, pemimpin kanan MIC negeri dan bekas ADUN Sungkai, juga tidak sah.

“Sultan, dan sistem beraja itu sendiri, menanggung malu dengan babak (politik) ini, termasuk usaha terancang oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan lagi isu menjadi perkauman dan penderhakaan.

“Tindakan seumpama ini hanya merosakkan lagi institusi yang mereka dakwa cuba mempertahankannya, dan (susulan itu) ia mencemarkan UMNO dan BN.

“Isu sebenarnya adalah perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dan sistem beraja dilindungi selagi mendukung keunggulan perlembagaan dan hasrat rakyat,” katanya.


Nizar di Istana Iskandariah sempena Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran Sultan Perak

12 Mei, 2009 6:53 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan isteri Datin Seri Fatimah Taat kelihatan berbual mesra dengan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah.

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan isteri Datin Seri Fatimah Taat kelihatan berbual mesra dengan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berada di Balai Rong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar bersama isteri, Datin Seri Fatimah Taat pagi tadi. Beliau dipersilakan duduk di tempat yang dikhaskan untuk Menteri Besar dan pembesar-pembesar kanan negeri.

Beliau telah menghadiri majlis penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena hari keputeraan Sultan Azlan Shah. Turut hadir pada majlis itu barisan Exco daripada Pakatan Rakyat termasuk Exco Kanan, Dato’ Ngeh Koo Ham.

Walau bagaimanpun, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco Barisan Nasional yang baru mengosongkan jawatan mereka semalam dan bilik masing-masing di Bangunan Perak Darul Ridzuan tidak kelihatan.

Lebih 286 penerima darjah kebesaran dan pingat hadir pada majlis tersebut hari ini.