BN Perak hormati keputusan mahkamah, polis kawal bangunan SUK Perak

11 Mei, 2009 8:30 PM
FRU kawal Bangunan Perak Darul Ridzuan

KAWAL...Pasukan FRU bersiap sedia mengawal perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan sejak petang Isnin, 11/05/2009. Gambar mStar Online.

Barisan Nasional (BN) Perak akan menghormati keputusan mahkamah yang mengesahkan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar dengan mengosongkan bangunan SUK dengan segera, kata pembantu Zambry Abdul Kadir.

Bangunan SUK menempatkan Pejabat Menteri Besar dan juga Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkumpul di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini mulai hari ini bagi mengelakkan keadaan yang tidak diingini berlaku, kata Ketua Polis Perak, Dato’ Zulkefli Abdullah.

Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan kepada mereka yang tidak mematuhi arahan ini.

“Polis telah diarah berada di kawasan bangunan tersebut bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pejabat Menteri Besar Perak dan anggota Exco kerajaan negeri terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Selain polis, beliau berkata, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) juga telah diarah berkawal di bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu. Katanya sehingga pukul 6.30 petang ini keadaan adalah terkawal.


Nizar mohon restu Sultan keputusan mahkamah

11 Mei, 2009 8:16 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan Sultan Azlan Shah

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dijangka akan mengadap DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah secepat mungkin untuk memohon pembubaran DUN Perak.

Keputusan Mahkamah hari ini telah mengesahkan bahawa Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar sah Perak.

Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim juga mengarahkan supaya beliau membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak serta mengarahkan Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco beliau mengosongkan jawatan mereka.

Dalam sidang akhabr beliau sejurus selepas keputusan mahkamah petang tadi, Nizar mengumumkan bahawa hari ini adalah hari paling bertuah bagi rakyat Perak kerana undang-undang dan perlembagaan negeri Perak telah di kembalikan kepada rakyat Perak.

Hakim Abdul Aziz disifatkan sebagai hakim yang berani dan bersemangat yang membuat keputusan untuk menegakkan keadilan. Nizar juga memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana telah memberi petunjuk dan hidayahNya hari ini.

Keputusan ini adalah tanda-tanda positif untuk memulihkan kembali pemerintahan Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen yang boleh dimanfaat oleh setiap rakyat Perak.

“Sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, kehakiman awam lebih afdal untuk menentukan kesejahteraan negeri dan rakyat Perak,” kata Nizar dalam kenyataan akhbar beliau.

Nizar akan membawa keputusan mahkamah hari ini untuk mengadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk mendapat restu Sultan seperti berikut:-

1) Kesemua pertuduhan yang dibuat oleh Dr Zambry Abdul Kadir dan Exco beliau harus diteliti kembali dan tidak dikira sah sehingga kecuali sidang DUN pada 7 Mei lalu.

2) Mohon Zambry dan enam Exconya segera mengosongkan jawatan seperi yang diarahkan mahkamah hari ini.

3) Menggantung jawatan penasihat undang-undang Kerajaan Negeri Perak Ahmad Kamal Md Shahid dengan berkuatkuasa segera.

4) Mengadakan menyuarat Exco Perak dengan segera.

5) Membuat permohonan bahawa DUN dibubarkan seperti yang dicadangkan semasa sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac 2009. Suara Keadilan Online


Nizar kembali MB Perak selepas 96 hari

11 Mei, 2009 7:41 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin melambai tangan

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas keputusan permohonan diumumkan. - foto The Star oleh ONG SIN HOONG

Selepas 96 hari, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat diisytiharkan sebagai Menteri Besar sah, tetapi keputusan hari ini belum memberi petanda jelas sama ada krisis politik Perak yang memasuki bulan ketiga akan menemui jalan penyelesaian.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan keputusan itu kira-kira pukul 3.45 petang tadi.

Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir daripada Barisan Nasional (BN) yang mengambil alih tampuk kerajaan negeri 6 Februari lalu berada di bangunan SUK Perak.

Ratusan penyokong Nizar berhimpun di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta sejak tengah hari tadi dengan kawalan keselamatan ketat.

Hakim Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan demikian selepas mendapati kerusi itu tidak kosong kerana Nizar tidak pernah meletak jawatan.

Selain itu tiada sebarang usul undi tidak percaya dibawa terhadap Nizar pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mahkamah juga menolak permohonan peguam Zambry, Dato’ Cecil Abraham untuk menangguhkan keputusan pengesahan kedudukan Nizar sebagai MB Perak tetapi mereka boleh mengemukakan rayuan.

Dalam kertas penghakiman yang dibacakan lebih satu jam bermula pukul 2.30 petang tadi, Abdul Aziz berkata, satu-satunya cara untuk melucutkan jawatan Nizar sebagai Menteri Besar adalah melalui keputusan undi tidak percaya dalam sidang DUN.

Beliau berkata, tindakan Barisan Nasional (BN) membawa 31 ADUN termasuk tiga wakil rakyat Bebas menghadap Sultan Perak telah menyebabkan bukti yang menunjukkan Nizar kehilangan undi majoriti itu datang daripada pelbagai sumber.

Dalam reaksi segera, Nizar berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Kuala Kangsar, dijangka esok pagi bagi memaklumkan secara rasmi berhubung keputusan mahkamah yang diputuskan hari ini.

Katanya, semua keputusan yang dibuat oleh Zambry selaku Menteri Besar sejak Februari lalu akan dikaji semula kecuali keputusan untuk mengadakan sidang DUN pada 7 Mei lalu yang berakhir dengan kekecohan.

“Kita akan minta Dato’ Zambry dan Exco lain untuk mengosongkan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta berikutan keputusan mahkamah,” katanya.

Nizar juga memberitahu mesyuarat Exco akan diadakan segera.

“Kita berpegang yang DUN harus dibubarkan berdasarkan kepada usul yang diluluskan pada sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac lalu,” katanya.

Nizar telah kehilangan jawatan tersebut 6 Februari berikutan krisis politik Perak.

Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, PAS dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga ADUN daripada Pakatan memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong BN.

Tindakan itu menyebabkan BN secara automatik telah memiliki sokongan majoriti dalam DUN Perak.

Sultan Azlan berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar baru pada 6 Februari.

Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Zambry juga diwakili oleh Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah. mStar Online