Pakatan Rakyat tidak amal sikap diskriminasi – Nizar Jamaluddin

30 April, 2009 6:36 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah mengamalkan diskriminasi dalam memberikan bantuan kepada golongan tertentu sebaliknya bantuan diberikan kepada semua yang layak.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sepanjang 11 bulan menerajui Perak, PR memberikan pelbagai bantuan dan sumbangan kepada rakyat seperti pemberian air percuma, sumbangan kepada anak-anak yang berjaya memasuki universiti dan sebagainya.

Menurutnya, sepanjang Barisan Nasional (BN) menerajui Perak, rakyat dibiarkan merempat dan hidup dalam kemiskinan serta memilih orang tertentu untuk diberikan bantuan.

“Mereka tidak membantu rakyat dan membiarkan rakyat hidup miskin kerana mereka menyokong PAS dan tidak menyokong parti mereka.

“Hari ini politik baru Malaysia kita tidak boleh ambil politik perkauman dan Islam menentang perkara itu,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Situasi Politik Semasa di Markas PAS Teluk Intan, Padang Tembak.

Menurutnya, kemenangan beliau di Bukit Gantang pada pilihan raya kecil lalu sebenarnya memberitahu BN bahawa rakyat Perak sebenarnya mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.

Beliau berkata, rakyat di Bukit Gantang sebenarnya mewakili seluruh rakyat Malaysia yang menolak UMNO dan BN serta menyatakan bahawa mereka tidak mahu lagi politik perkauman.

Menurutnya, UMNO sanggup merampas hak rakyat dan tidak pernah mengambil tahu sama ada perbuatan mereka itu halal atau haram.

Nizar berkata, UMNO langsung tidak menghormati Speaker dan melanggar peruntukan undang-undang sesuka hati dengan menentukan sendiri kerajaan mereka tanpa mengira pandangan demokrasi rakyat.

Menurutnya, UMNO juga membuktikan bahawa pemimpin mereka terlibat dalam rasuah, malah masih memegang jawatan tertentu walaupun sudah terbukti terlibat dalam politik.

Beliau berkata, PAS mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas yang bertungkus-lumus membantu merayu undi dan kempen sehingga berjaya memenangi kerusi Parlimen itu.

Menurutnya, semua pihak harus bersyukur di atas kemenangan ini dan selain itu perlu muhasabah diri kepada Allah dengan meminta keampunan supaya segala tindakan yang dibuat direstui.

Penyokong PR mendengar ceramah perdana yang disampaikan Nizar di Markas PAS Teluk Intan. – Sinar Harian Edisi Perak


Nik Aziz minta Nik Abduh padamkan kekeliruan dalam blog

30 April, 2009 5:31 PM
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta anaknya, Nik Abduh supaya menjelaskan kekeliruan dan jangan biarkan kekeruhan bertapak lama berhubung isu dakwaan beliau terhadap pembantu ‘sesat’ bapanya yang dikatakan melaga-lagakan bapanya dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Nik Abduh dalam blognya mencatatkan beliau telah dihubungi ayahandanya dari Mekah, meminta beliau supaya ‘memadamkan kekeliruan’ dan ‘jangan membiarkan kekeruhan bertapak lama’ berhubung isu itu.

“Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. Alhamdulillah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

“Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya katakan kepadanya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu. Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda.

“Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai.

“Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!” katanya yang dipetik daripada blognya.

Nik Abduh dalam blognya sebelum ini, bercerita mengenai pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi. – Sinar Harian


Mahkamah tidak ada hak tentukan kerajaan negeri Perak – Nizar Jamaluddin

30 April, 2009 12:23 PM
Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan mahkamah tidak berhak untuk menentukan siapa untuk mentadbir kerajaan sebaliknya hak berkenaan perlu diserahkan kepada rakyat.

Berucap dalam satu ceramah di Kampar, Nizar berkata, terdapat beberapa faktor dan fakta yang bercanggah sehingga Mahkamah Persekutuan terpaksa memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah tidak ada hak menentukan siapa kerajaan yang sebenar, kerana rakyat adalah yang paling berhak menentukan siapakah kerajaan yang sah,” katanya malam tadi di Dewan Tokong Cina Mambang Diawan di sini.

Menurut Nizar lagi, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan pada 7 Mei 2009 akan turut dihadiri oleh ADUN-ADUN Pakatan Rakyat dan ianya disifatkan sangat mengerikan.

“7 Mei adalah tarikh yang mengerikan kerana hari itu akan berlaku sesuatu perkara yang tidak diduga sama sekali, kami akan bermesyuarat esok untuk menyusun strategi. Kami akan hadir mengikut bidang tugas yang ada pada Speaker,” katanya lagi.

Ceramah itu turut dihadiri oleh Exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Perak, Nga Kor Ming dan Chen Fock Chai, ADUN Titi Serong Drs Khalil Idham Lim, ADUN Malim Nawar Khesvinder Singh dan ADUN Simpang Pulai Chan Ming Kai.