Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim saman Ketua Pesuruhjaya SPRM

28 April, 2009 8:03 PM
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim-SPRM

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim-SPRM

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memfailkan saman terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Seri Ahmad Said Hamdan berikutan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Saman berkenaan telah difailkan melalui peguamnya, Sankara N Nair dari Tetuan S N Nair and Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, petang semalam.

Dalam writ saman berkenaan, Abdul Khalid mendakwa dirinya difitnah ekoran kenyataan akhbar yang dibuat Ahmad Said pada 21 Februari 2009, yang bertajuk “There is evidence Khalid misused powers” yang ditulis oleh Audrey Dermawan dan diterbitkan The New Straits Times di mukasurat dua akhbar terbabit.

Dato' Seri Ahmad Said Hamdan

Dato' Seri Ahmad Said Hamdan

Menurut Sankara Nair, Ketua Pesuruhjaya SPRM, di bawah Akta SPRM tidak diberikan kuasa menyatakan kepada media mengenai hasil siasatan. Oleh itu, Ahmad Said didapati telah melanggar akta tersebut.

Dalam artikel berkenaan, Ahmad Said telah mendakwa Abdul Khalid telah terlibat dengan salah laku dana kerajaan negeri Selangor bagi membiayai pembelian 46 ekor lembu korban dan menyelenggara kereta.

Sankara menambah, kuasa mutlak untuk menentukan sama ada terdapat cukup bukti terletak pada Peguam Negara.

Tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM mendakwa Abdul Khalid telah terlibat dalam salah laku, dalam kenyataan rasminya pada 21 Februari 2009 lalu, merupakan satu serangan ke atas reputasi dan bertujuan memfitnah beliau.


PRK DUN Penanti: Anwar Ibrahim umum calon malam ini di Yayasan Aman, Penanti

28 April, 2009 6:57 PM

Pilihan raya kecil DUN Penanti

Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan nama calon PKR yang akan bertanding di DUN N12 Penanti sempena ceramah beliau di Yayasan Aman, Penanti pada jam 9 malam ini.

Ceramah yang dijangka akan dihadiri oleh ribuan penyokong Pakatan Rakyat bagi meraikan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, wakil Menter Besar Kedah dan pimpinan PKR negeri-negeri lain.

Lewat petang semalam beliau telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadiri oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang. Mereka telah dimaklumkan mengenai cadangan calon PKR dan memberi perakuan untuk sama-sama membantu kempen di Penanti kelak.

Sementara itu pimpinan UMNO masih terus mempertimbangkan sama ada mahu bertanding atau tidak. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak membayangkan bahawa UMNO tidak bersedia bertanding demi menjimatkan belanja.

Namun, amat sukar buat Najib untuk mengenepikan saranan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tetap bertarung demi maruah dan tradisi UMNO-BN.


Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Zambry sebagai MB Perak yang sah

28 April, 2009 6:27 PM
2 Menteri Besar Perak

Pertembungan di antara 2 orang Menteri Besar Perak di Mahkamah Persekutuan. Kes mereka berdua perlu dirujuk ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari Barisan Nasional untuk mendapatkan perisytiharan bahawa beliau Menteri Besar Perak yang sah.

Zambry mahu merujuk isu dua Menteri Besar negeri itu terus kepada Mahkamah Persekutuan tanpa menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Mahkamah Tinggi kini dalam proses membicarakan isu-isu yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff bersetuju dengan bantahan awal peguam Nizar, Sulaiman Abdullah bahawa isu tertentu harus diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Alauddin berkata wujud percanggahan jelas dalam keterangan yang dikemukakan oleh Mohammad Nizar dan Penasihat Undang-Undang yang mewakili Zambry. Menurut Alauddin, isu percanggahan fakta itu harus diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Selain cuba memintas Mahkamah Tinggi, Zambry telah menggerakkan usaha untuk memanggil sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei 2009. Beliau sebelum ini mendakwa bahawa Sultan dan bukan rakyat yang menentukan pihak mana harus menubuhkan kerajaan negeri.


Mohammad Nizar Jamaluddin failkan notis usul cabar Perkara 63 terhadap Zambry

28 April, 2009 2:06 PM
2 Menteri Besar Perak

2 Menteri Besar Perak...Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mewakili Barisan Nasional dan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam memfailkan notis usul untuk mendapatkan perisytiharan mahkamah bahawa Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak adalah tidak sah dan terbatal.

Mohammad Nizar, 52, memfailkan notis usul itu melalui peguamnya Tetuan Leong & Tan di pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini, dan menamakan kerajaan Perak, kerajaan Malaysia dan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar menyatakan pindaan dalam Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP), yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendengar isu-isu perlembagaan berkaitan krisis politik negeri Perak, adalah bertentangan dengan Perkara 4(3) dan 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

Sebarang pindaan kepada Perkara 63 selepas Hari Merdeka hendaklah dibuat melalui Perkara 162(1) Perlembagaan Persekutuan, ini kerana bidang kuasa Mahkamah Persekutuan hanya boleh diberikan oleh Parlimen, dan bukan Dewan Perhimpunan Negeri.

Oleh itu Dewan Perhimpunan Negeri Perak tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan Seksyen 38 Enakmen (Pindaan) UTKP dan ia harus dideklarasikan sebagai batal dan tidak sah.

Dengan notis usul yang difailkan, Mohammad Nizar memohon supaya pendengaran prosiding rujukan undang-undang bagi menentukan siapakah Menteri Besar Perak yang sah, yang ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Persekutuan, ditangguh sehingga permohonan didengar.