Hishammuddin lantik Michael Chong sebagai Penasihat dan Pegawai Khas beliau

15 April, 2009 7:00 PM

Ketua Biro Khidmat Awam dan Aduan MCA, Dato’ Michael Chong dilantik sebagai Penasihat dan Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkuatkuasa serta-merta.

Hishammuddin berkata pengalaman luas Michael Chong dalam memahami masalah dan isu rakyat di akar umbi selama ini menggambarkan kewibawaannya sebagai seorang individu yang komited untuk berkhidmat demi kepentingan masyarakat.

Hishammuddin yakin keikhlasan dan kesungguhan Michael Chong dalam khidmat masyarakat dapat membantu beliau dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru.


ADUN PAS tidak dibayar gaji oleh kerajaan BN Perlis

15 April, 2009 6:43 PM
Ustaz Hashim Jasin

Ustaz Hashim Jasin

ADUN Sanglang yang mewakili PAS, Ustaz Hashim Jasin, mendakwa bahawa beliau tidak menerima apa-apa bayaran, termasuk gaji daripada kerajaan negeri Perlis bagi jawatan ADUN yang disandang sejak September 2008 yang lalu.

Dakwaan tersebut telah menggemparkan sidang DUN Perlis semalam. Malah, ketika sesi penggulungan hujah, Ustaz Hashim turut memberitahu DUN, tunggakan pencen yang dikatakan akan dibayar kerajaan negeri kepadanya selepas ditandatangani baru-baru ini, juga tidak diterima sehingga menyukarkan beliau untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai ADUN.

Beliau tidak pasti di mana silapnya kerana mustahil kerajaan negeri terlalu miskin sehingga tidak mampu membayar gaji seorang ADUN atau mungkin gaji yang sepatutnya beliau terima masih dibayar kepada wakil rakyat terdahulu (Abdulllah Hassan), sedangkan terbukti kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu, tidak sah.

Beliau menegaskan bahawa perkara yang dibangkitkan bukan kerana mementingkan diri sendiri tetapi wang gaji yang diterima itu akhirnya akan disalurkan kepada rakyat juga. Malah, sama ada diberikan gaji ataupun tidak, beliau tetap perlu jalankan amanah sebagai wakil rakyat seperti dipertanggungjawabkan.

Justeru, Ustaz Hashim Jasin meminta kerajaan negeri melihat isu ini sebaik mungkin bagi membolehkan beliau menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

Untuk rekod, kerusi DUN Sanglang dalam PRU ke-12 lalu diisytihar dimenangi Abdullah sebagai calon BN. Bagaimanapun, ia diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Tinggi Kangar, berikutan petisyen difailkan Ustaz Hashim Jasin.

Kes itu kemudian dimajukan kepada Mahkamah Persekutuan untuk rayuan, sebelum mahkamah mengisytiharkan Ustaz Hashim Jasin sebagai pemenang yang sah pada 16 September 2008 dan disusuli pelantikan beliau sebagai ADUN Sanglang.

Mungkinkah wujudnya unsur-unsur sabotaj atau kerajaan negeri terlepas pandang mengenai isu ini?. Diharap Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Dr Md Isa Sabu dapat memberikan penjelasan berhubung perkara yang disuarakan.