Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memberi jaminan bahawa perisytiharan harta dan asetnya boleh diakses melalui laman sesawang kerajaan negeri selewat-lewatnya Selasa depan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kegagalan untuk mengakses perisytiharan harta beliau di laman sesawang berkenaan sedangkan senarai harta dan aset Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri telah disiarkan semalam.
Katanya kegagalan melayari senarai harta dan asetnya disebabkan wujud beberapa masalah dalam memasukkan data ke dalam sistem yang berkemungkinan berpunca daripada terlalu banyak borang perisytiharan yang perlu dimuat naik.
“Mungkin pada Isnin atau Selasa (boleh akses) kerana kita juga nak (data-data) yang lebih terkini dan nak tengok bagaimana komen orang ramai terhadap perisytiharan (senarai harta dan aset Exco),” katanya.
Maklumat perisytiharan aset membabitkan hartanah, saham, wang yang diperoleh sejak mengangkat sumpah sebagai Exco itu disiarkan menerusi laman sesawang rasmi kerajaan negeri di alamat www.selangor.gov.my bermula lewat petang semalam.
Mengenai maklum balas orang ramai terhadap langkah kerajaan Selangor mengisytiharkan senarai harta dan aset Exco kerajaan negeri di laman sesawang itu, Abdul Khalid berkata ada yang berpendapat bahawa langkah itu (mengisytiharkan harta) sepatutnya dicontohi oleh Menteri, Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri.
“Itu terpulang kepada mereka tetapi untuk Selangor kita tumpukan kepada Menteri Besar dan Exco dahulu,” katanya.
