Anwar ditahan Polis Bertopeng…

16 Julai, 2008 7:24 PM

kemaskini 3:59pm Polis menahan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar rumahnya di Segambut Dalam dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur tengahari ini.

Beliau ditahan sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket – dipercayai Bahagian Jenayah Berat, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.

Menurut peguam R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan timbalan perdana menteri itu, ke dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.

Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.

Manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.

Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan.

Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh anggota polis yang menahannya itu.

Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.

Naib presiden PKR, Azmin Ali tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, dan menyifatkan tindakan polis itu sebagai “tidak bertamadun” kerana Anwar telah mengesahkan akan datang.

Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum lagi tamat.

Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.

Kira-kira 40 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini berhimpun di IPK Kuala Lumpur, sementara lebih 200 orang berada di jalan utama menuju bangunan itu, depan bekas Penjara Pudu.

Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.

Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.

Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Dalam pindaan terbaru, peruntukan ini berbunyi seperti berikut: Di bawah seksyen ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur orang yang satu lagi itu.

Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Kelihatan sepasukan anggota polis memantau pergerakan para penyokong yang berhimpun di situ. Turut kelihatan ialah sebuah trak meriam air.

Ahli Parlimen PKR, Wee Choo Keong, yang berada di dalam bangunan itu berkata, Wan Azizah dan dua anaknya – Nurul Izzah dan Nurul Nuha – dibenarkan menemui Anwar di tingkat tujuh pada kira-kira jam 2 petang.

Pada jam 2.35 petang, Wan Azizah dan anak-anaknya, serta peguam Sankara Nair muncul dari bangunan tersebut.

Pada jam 2.40 petang, ahli Parlimen DAP termasuk Lim Kit Siang, Tan Kok Wai, Fong Kui Lun dan Anthony Loke juga kelihatan meninggal dari bangunan tersebut.

Loke berkata, mereka hanya dibenarkan menunggu di kantin, dan semua ahli Parlimen Pakatan akan balik ke Parlimen untuk “membangkitkan isu tersebut”.

Pada jam 2.50 petang, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar berkata, pihak polis sudah mula menyoalsiasat Anwar.

Katanya, perhimpunan sokongan kerdipan lilin akan diadakan di luar bangunan tersebut jika Anwar tidak dibebaskan hari ini.

Peguam Latheefa Koya pula berkata, Anwar ditahan sebagai suspek, tetapi pihak polis mahu merakamkan kenyataannya sebagai saksi mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

“(Pada kira-kira jam 2.40 petang, peguam) Sulaiman Abdullah masuk bersama peguam Param Cumaraswamy. Anwar akan diwakili oleh tiga peguam termasuk Sulaiman. Param berada di situ sebagai tokoh antarabangsa,” katanya.

(Param merupakan bekas pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi kebebasan hakim dan peguam).

Sementara itu, pada jam 5.40 petang, peguam N Sankara Nair memberitahu, Anwar masih lagi memberi kenyataan kepada pihak polis.

Sumber berita : malaysiakini.com


Ustaz Azizan Abdul Razak bergelar Datuk Seri…

16 Julai, 2008 6:59 PM

Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri di dalam satu istiadat pengurniaan darjah kebesaran sempena sambutan Jubli Emas pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, hari ini.

Beliau merupakan Menteri Besar kedua dari negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang menerima darjah kebesaran selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin. Tahniah Datuk Seri Azizan!


Debat : Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak…

16 Julai, 2008 4:06 PM


Al-Fatihah untuk Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil…

16 Julai, 2008 3:24 PM

Bekas Pengurus pasukan bolasepak Kedah dan juga bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ahmad Basri Akil telah disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, Kedah pada petang Selasa 15.07.2008.

Allahyarham dikatakan rebah ketika berada di Istana Anak Bukit untuk menghadiri majlis pelancaran setem Jubli Emas pemerintahan Sultan Kedah jam 2.30 petang sebelum dihantar ke hospital. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Al-Fatihah…


Hari Isnin dan Sekatan Jalan Raya Menuju Parlimen…

16 Julai, 2008 3:08 PM

Pagi Isnin yang lalu, 14.07.2008 seperti biasa rutin pagi aku ialah pergi kerja jika tidak bercuti. Semasa dalam perjalanan menuju ke tempat kerja, aku melalui Lebuhraya Mahameru. Sesampainya aku di persimpangan berdekatan bangunan Parlimen, aku dapat saksikan beberapa orang anggota polis trafik telah melakukan sekatan jalan raya di kedua-dua arah menuju ke Parlimen.

Sekatan jalan raya ini telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang luar biasa di sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Sekatan itu diadakan kononnya untuk menghalang perhimpunan di Parlimen. Pihak polis KL juga telah mengeluarkan arahan melalui satu perintah mahkamah supaya de facto leader PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokongnya tidak berada dalam lingkungan 5 km daripada bangunan Parlimen. Jika perintah ini diengkari, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk menangkap sesiapa sahaja.

Parti-parti gabungan dalam Pakatan Rakyat menafikan bahawa mereka akan mengadakan demonstrasi di luar perkarangan Parlimen atau di sekitar ibu kota. Demonstrasi ini dipercayai akan dilakukan oleh penyokong-penyokong Pakatan Rakyat bagi menyatakan sokongan sama ada usul tidak percaya terhadap kepimpinan Pak Lah diterima ataupun ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.

Persoalannya, dari manakah pihak polis mendapat maklumat tentang perhimpunan ini? Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengatakan bahawa dia menerima maklumat melalui sistem pesanan ringkas mengenai perkara ini. Beliau juga telah memberitahu kepada Speaker Dewan Rakyat bahawa ahli-ahli Parlimen tidak dibenarkan membawa tetamu ke dalam Parlimen pada hari Isnin sebagai langkah menjamin keselamatan dan ketenteraman awam?

Adakah hanya melalui khabar angin atau desas-desus, pihak kerajaan perlu mengambil tindakan sedrastik ini? Mengadakan sekatan jalan raya di kebanyakan laluan masuk ke KL dengan menyusahkan rakyat yang menuju ke tempat kerja? Adakah tindakan polis ini satu langkah yang bijak? Sudah semestinya tidak! Pihak polis tidak sepatutnya bertindak atau melakukan kerja di atas arahan orang politik! PDRM perlu menjadi satu badan yang bebas dan bukan bekerja untuk menjaga survival politik parti UMNO dan BN!

Kenapa pihak polis sibuk membantu dalam isu-isu politik tetapi isu-isu yang lebih besar seperti jenayah, keselamatan orang ramai dan ketenteraman awam tidak dijadikan satu tugas yang utama? Mengapa isu kanak-kanak hilang seperti Sharlinie dan Mawi sehingga sekarang masih belum ditemui penjenayahnya? Mengapa sehingga sekarang suspek penculikan dan pembunuhan Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin belum dibawa ke muka pengadilan? Mengapa isu mat rempit, rogol, bunuh, rompakan tidak dipandang serius oleh pihak PDRM? Isu-isu seperti inikan lagi penting daripada isu-isu politik?

Maka saya mendesak ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendapatkan jawapan yang munasabah daripada Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Menteri yang menjaga Hal Ehwal Parlimen berhubung isu ini. Jika mereka gagal mengemukakan jawapan yang bernas, kita desak mereka semua meletak jawatan!